Selasa, 28 Disember 2010

BERITA STEVIA - AKHBAR ONLINE


ARKIB UTUSAN ONLINE : 27/12/2010

Stevia alternatif gula

ANCAMAN diabetes dan angka penghidapnya yang semakin meningkat di negara ini membuatkan usaha mencari pemanis alternatif turut diperhebat.
Pengambilan pemanis alternatif dilihat sebagai satu cara menggantikan gula sekali gus membantu mengawal jumlah pengambilan manisan dalam makanan dan jumlah pesakit diabetes di negara ini.
Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2010.
Stevia, tanaman sub-tropikal yang berasal dari Amerika Selatan ialah antara pemanis alternatif terkini yang ditemui.
Stevia memberi kesan tidak penting terhadap glukosa dalam darah dan oleh itu digunakan sebagai pemanis dalam diet untuk mengawal karbohidrat.
Ia dijadikan pengganti pemanis dalam pembuatan makanan dan penggunaannya, dan semakin diiktiraf badan-badan antarabangsa.
Penggunaannya di Malaysia juga semakin meluas apatah lagi di kemuncak kenaikan harga gula di pasaran dunia baru-baru ini.
Sebuah syarikat pengeluar, CT Lang Sdn. Bhd., yang mengeluarkan dua produk minuman berteraskan kesihatan, kini menggunakan stevia sebagai pengganti gula dalam produk mereka.
Pengurusnya, Abdullah Mohamad berkata, stevia berpotensi besar sebagai tanaman industri baru kerana proses penanamannya yang tidak rumit dan mampu mengeluarkan hasil selepas tiga bulan penanaman.
‘‘Stevia boleh menjadi pengganti gula memandangkan kerajaan semakin giat menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dengan melupuskan subsidi terhadap komoditi itu baru-baru ini,” katanya.
Menurut beliau, Jepun menggunakan stevia sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam jumlah pemanis di negara itu dan ia digunakan dalam kebanyakan produk makanannya.
Abdullah berkata, ekstraknya adalah 300 hingga 400 kali ganda lebih manis daripada ekstrak yang diambil daripada tebu.
Abdullah berkata, Malaysia yang mengimport sepenuhnya gula perang dari India, perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pembelian gula dari luar dan sebaliknya cuba membangunkan industri stevia tempatan.
Katanya, dengan menggunakan kaedah tersebut, ia bukan sahaja mengurangkan pergantungan sumber gula dari luar, bahkan membantu pekebun kecil dan memberi sumber ekonomi baru untuk mereka.
Dalam hal ini, syarikatnya telah pun mula bertemu dengan wakil-wakil rakyat dalam menggalakkan pekebun kecil menanam stevia dalam skala yang kecil.
‘‘Wakil rakyat boleh membantu dari segi memberi bantuan baja dan biji benih dan hasil daripada tanaman itu boleh dijual kepada syarikat, yang memerlukan ekstrak stevia untuk mengeluarkan produk kami,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini petani di Bagan Serai, Perak dan Silam, Sabah bersetuju dengan idea ini dan dijangka memulakan penanam an dalam masa terdekat.
Penanaman pokok stevia ini dimulakan dengan mematangkan biji benih selama sebulan.
Selepas itu, ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum ekstrak dari daunnya diambil untuk diproses menjadi pemanis.
Abdullah berkata, proses penanaman yang tidak rumit, kos yang agak rendah dan pusingan hasil yang memberangsangkan menjamin potensi stevia bukan sahaja di dalam negara malah untuk dieksport ke luar negara.
Dengan memperkenal modul tanaman secara kecil-kecilan kepada pekebun kecil, ini bukan sahaja membantu pekebun malah mewujudkan satu rangkaian komersial penanaman stevia.
Untuk permulaan, dijangka sebanyak RM40,000 diperlukan bagi penanaman stevia di kawasan seluas 0.4 hingga 0.8 hektar, kata Abdullah.
Dengan adanya stevia, rakyat Malaysia mempunyai alternatif selain gula terutama penggunaannya yang menjangkau nilai RM5 billion setiap tahun.
Abdullah berkata, pandangan skeptikal rakyat Malaysia mengenai stevia merupakan penyebab mengapa ramai yang tidak tahu mengenai potensi dan kebaikan tanaman itu.
Bagaimanapun, dengan usaha kecil syarikat ini diharap lebih banyak pemahaman mengenai potensi tanaman ini dapat diterap sekali gus menjadikannya satu daripada pemacu ekonomi kepada sektor pertanian negara, katanya.- BERNAMA


 ARKIB UTUSAN ONLINE : 04/10/2010

Stevia pemanis semula jadi

Ramai sudah menyedari kehadiran stevia, sejenis tanaman seperti herba yang berfungsi sebagai pengganti gula kerana kemanisan semula jadinya.
Kehadiran pokok tersebut di tengah-tengah kegilaan masyarakat Malaysia kepada rasa manis melampau seakan-akan memberi khabar gembira dan mengurangkan rasa terancam kepada penyakit diabetes.
Bayangkan rakyat Malaysia yang dikatakan ‘gilakan’ kepada manisan– sumber utamanya ialah susu pekat dan gula – merupakan pengguna kelapan tertinggi di dunia dengan jumlah 46.9 kilogram perkapita pada 2005 atau 26 sudu sehari, meningkat daripada 17 sudu pada 2007.
Bagi menambah ‘kemanisan’ fakta-fakta tersebut, rakyat Malaysia merupakan pengidap diabetes keempat tertinggi di Asia yang mana jumlahnya ialah 800,000 pada 2009 dan dijangka meningkat kepada 1.3 juta pada tahun ini.
Demikian penangan gula dan manisan kepada gaya hidup rakyat Malaysia yang dilaporkan mengalami peningkatan angka masalah obesiti atau kegemukan.
Dengan angka-angka tersebut, kecenderungan pengguna kepada usaha penjagaan kesihatan terarah kepada bagaimana rasa manis dapat dikekalkan dalam hidup mereka tetapi pada masa sama, sentiasa sihat.
Tetapi adakah stevia menjadi penyelesaian terbaik ketika ini sehinggakan industri kecil dan sederhana berasaskan pokok tersebut kian bercambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Selaras dengan teori mudah perniagaan, ada permintaan maka adalah pembekal, maka stevia mula menjadi sebutan sebagai pemanis sihat.
Ketika ini, banyak pemanis tiruan berada di pasaran dengan pelbagai jenama tetapi kesangsian tetap timbul sama ada ia menyihatkan atau sebaliknya.
Bagaimanapun menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Swee Lian, pada masa sama, beberapa pemanis semula jadi juga digunakan antaranya Glycyrrhin, lo han go, stevioside , periallaetin dan thaumatin turut dimanfaaatkan oleh pengguna.
Katanya, glycyrrhin diperoleh daripada akar Glycyrrhiza Glabra, lo han go (buah Siratia Grosvenorii) manakala stevioside (daun stevia iaitu Stevia Rebaudiana), perillartin (Perilla frutescens) dan thaumatin daripada buah ajaib atau nama saintifiknya Thaumatoccus Danielli.
“Hanya stevia dan thaumatoccus yang boleh tumbuh di negara ini manakala yang lain adalah tumbuhan beriklim sederhana,'' ujar beliau.
Katanya, oleh kerana thaumatococcus yang diuji pada oleh MARDI pada 1980-an menunjukkan hasil yang rendah, maka kajian kini tertumpu kepada stevia.
Masalahnya ialah, harga untuk mengeluarkan stevia di ladang di negara ini lebih tinggi berbanding mengimportnya.
Stevia merupakan sumber pemanis semulajadi dan menyihatkan kerana tidak mengandungi kalori dan sesuai untuk mengurangkan berat badan.
Gula pemanis sihat itu lebih manis sehingga 250 kali ke 300 kali berbanding gula biasa.
Disebabkan pengetahuan baru rakyat Malaysia berkenaan stevia dan pada masa sama kesedaran penjagaan kesihatan semakin meningkat, permintaan kepada pemanis semula jadi itu semakin ketara.
Dengan permintaan yang meningkat, ramai pengusaha telah muncul menawarkan produk masing-masing tetapi yang menjadi masalah ialah bekalan yang sukar diperoleh.
Ini mendorong kepada usaha penanaman sendiri untuk menampung bekalan supaya tidak terputus.
Meskipun belum ada usaha penanaman sendiri secara komersial, setakat ini, terdapat beberapa syarikat yang terlibat dalam pemprosesan yang mengeluarkan produk berasaskan stevia.
Beliau belum lagi menggalakkan pengusaha menanam sendiri buat masa ini memandangkan kajian mengenainya masih dijalankan.
Menurut Swee Lian, stevia ditemui oleh seorang warga Itali, Bertoni, di Paraguay di benua Amerika Selatan yang mana orang asli di negara berkenaan menggunakannya sebagai manisan pada ubatan.
“Ini bermakna mereka (Orang Asli) tidak menggunakannya secara rutin atau makanan harian.
“Oleh itu perlu ada kajian apakah kesannya jika diambil (digunakan) selalu,'' katanya.
Di Malaysia, kajian mengenai penanaman stevia telah dijalankan sejak 1970-an yang mana seorang pelajar telah berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah. Tetapi penyelidikan lanjut mengenainya tidak dijalankan kerana kemungkinan tidak ada sokongan teknologi atau varieti baru.
Pada 1990-an, sebuah syarikat, Stevian Biotechnology mengeluarkan produk pemanis berasaskan stevia.
Syarikat tersebut yang beroperasi di bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan dikatakan membawa masuk 69 varieti stevia dari luar negara antaranya Rusia, Paraguay, China dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, sebuah syarikat lain telah mengambil alih operasinya dan banyak membawa masuk ekstrak mentah stevia berbanding penggunaan daun kering.
Pada masa sama, syarikat terbabit, Pure Circle juga pernah merancang untuk mengadakan kerjasama dengan MARDI.
Namun kata Swee Lian, pihaknya telah menghasilkan beberapa klon sendiri dan daripada itu, terdapat klon yang berpotensi untuk ditanam di negara ini.




ARKIB UTUSAN ONLINE : 17/09/2010

Guna stevia ganti gula

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Kerajaan disarankan agar menggantikan penggunaan gula sebagai pemanis dengan tumbuhan stevia yang mampu mengurangkan kadar penyakit diabetis di kalangan orang ramai.
Pengurus Besar C. T. Lang Development (M) Sdn. Bhd., Abdullah Mohamad berkata, penggunaan tumbuhan itu adalah satu cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut.
"Tumbuhan stevia yang mampu tumbuh subur di negara ini dapat menstabilkan kandungan gula dalam darah dan pada masa yang sama dapat menurunkan risiko menghidapi diabetis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia kelmarin yang mengupas ketagihan rakyat negara ini yang tergamak meracuni diri mereka dengan racun yang bernama 'gula'.
Tabiat ini sekali gus menyumbang kepada kematian dan dilaporkan empat daripada lima pesakit diabetes di negara ini akan mati akibat penyakit jantung selain enam kejadian strok yang berlaku pada setiap jam.
Tambah Abdullah, berbanding gula, stevia adalah 30 kali ganda lebih manis dan harganya juga lebih murah.
"Di Jepun, kerajaannya menggunakan tumbuhan ini sebagai sumber kemanisan mereka, kenapa tidak di sini?
"Pada pendapat saya, penggunaan stevia menggantikan gula adalah satu langkah yang menguntungkan dan berkesan," ujarnya.
Tambahnya, sejak beberapa kilang memproses gula di Chuping, Perlis dan Padang Terap, Kedah ditutup, negara mengimport gula daripada India.
Jelasnya, aktiviti mengimport gula menyebabkan aliran keluar wang tinggi sekali gus merugikan negara.
"Justeru, saya turut menggalakkan orang ramai mengubah tabiat pemakanan melibatkan gula mereka kepada tumbuhan ini yang jelas lebih berfaedah kepada kesihatan mereka," ujarnya.


ARKIB UTUSAN ONLINE : 10/01/2010

Sabah rancang tanam stevia ganti gula

KOTA KINABALU 9 Jan. - Kerajaan negeri merancang untuk menanam stevia iaitu sejenis pokok herba renek yang mempunyai rasa manis, secara komersial sebagai alternatif kepada gula.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, projek perintis tanaman tersebut akan dilaksanakan di Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun di Sandakan dalam masa terdekat.
"Kawasan seluas satu ekar sudah dikenal pasti untuk tujuan itu dan kita berharap ia dapat dimulakan secepat mungkin.
"Sebagai permulaan kita jalankan satu ujian di Ulu Dusun Sandakan dan kemudiannya akan memperluaskannya secara berperingkat-peringkat ke kawasan lain seperti di pusat penyelidikan pertanian di Tawau, Tenom, Tuaran dan Kundasang," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bagi memastikan penanaman dan penyelidikan yang baik menggunakan teknologi terkini, projek itu turut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, tanaman tersebut amat mudah hidup dan senang dijaga malah mampu menjana pendapatan lumayan.
Selain itu katanya, tanaman berasal dari Paraguay itu juga mempunyai potensi pasaran yang luas khususnya bagi kegunaan industri makanan dan minuman.
"Sebenarnya tidak perlu kawasan yang luas untuk mengusahakan tanaman ini kerana ia boleh ditanam di belakang rumah sahaja.
"Dalam satu ekar, tanaman stevia boleh menghasilkan satu tan metrik daun kering yang boleh dijual dengan harga RM7,000 setan, malah ia boleh dituai tiga hingga enam kali setahun," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini untuk merebut peluang mengusahakan tanaman berdaun manis tersebut di kawasan tanah kosong masing-masing.
"Ia bukan sahaja dapat menggantikan gula dalam minuman dan makanan tetapi akan menjadi sumber pendapatan untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat Sabah seterusnya mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan," ujarnya.




ARKIB UTUSAN ONLINE : 19/06/2009

Stevia potensi ganti gula

KUALA LUMPUR 18 Jun - Masih belum boleh dikomersial sebelum kajian mendalam selesai dilaksanakan.
Itulah status terkini tanaman Stevia - sejenis pokok yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada penggunaan gula.
Hasil kajian awal mendapati ia tidak mengandungi kalori serta amat sesuai untuk pesakit diabetes walaupun rasa manisnya sehingga 300 kali ganda berbanding gula biasa.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) awal oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenainya telah memasuki peringkat akhir dan bakal diumumkan menjelang hujung tahun ini.
Antara fokus R&D awal itu adalah bagi mengkaji kesesuaiannya dari segi agronomi, teknologi kejuruteraan, pengurusan dan kos tanaman.
"Kami hendak pastikan hasil kajian itu kelak akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar sebelum boleh dikomersialkan.
"Untuk makluman dua bahan ekstrak stevia iaitu Steviosit dan Revadiosit A sudah berada di negara ini.
''Ia digunakan oleh sebuah syarikat tempatan sebagai pemanis bagi menggantikan gula yang diimport dari China," katanya menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas - Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Rohani, antara masalah utama yang dihadapi dalam penanaman stevia yang berasal dari Rusia adalah tanaman itu memerlukan waktu siang lebih panjang iaitu sehingga 13 jam dan keadaan ini tidak terdapat di Malaysia yang mana waktu siangnya singkat.
"Jadi kita terpaksa mencari kaedah terbaik, mungkin memasang lampu bagi memberi keperluan cahaya sepatutnya untuk stevia.
''Bentuk fizikalnya juga seperti pokok teh yang memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi menuai daunnya," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat tiga ladang yang mengusahakan tanaman stevia secara persendirian iaitu di Muazzam Shah, Pahang; Ladang Kubu Padang Terap, Kedah dan Muar, di Johor.
Menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas - Kuala Krai) yang bertanyakan mengenai kesan sampingan pengambilan stevia, Rohani berkata, sekiranya diambil berterusan ia boleh menyebabkan masalah kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia).
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat telah mengklasifikasikan tanaman itu sebagai selamat.


ARKIB UTUSAN ONLINE : 17/07/2007

Stevia pengganti gula

GULA sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis dan pengambilan berlebihan akan menyebabkan penyakit tersebut semakin parah.
Namun gula (glukosa) juga sebagai salah satu sumber tenaga kepada tubuh dan bertindak sebagai pemanis untuk menyedapkan makanan.
Namun kini bagi yang gemarkan manis tanpa kalori boleh memilih stevia, salah satu alternatif kepada gula yang mempunyai kemanisan 200 hingga kali ganda manis daripada gula biasa.
Lebih membanggakan, gula alternatif ini dihasilkan oleh anak tempatan yang kini memasarkan stevia secara komersial.
Menurut Tuan Hashim Tuan Mohamad, 65, individu yang bertanggungjawab menerokai bidang perniagaan bersandarkan produk stevia, pemanis bukan gula ini semakin digemari orang ramai.
“Penggunaan stevia di negara ini mungkin masih kecil jumlahnya tetapi pemanis ini telah meluas penggunaan di Jepun yang mana 60 peratus penduduknya mengambil stevia bagi menggantikan gula,’’ ujarnya
Menurut Hashim, stevia berasal daripada pokok renek berasal dari Paraguay dan dikenali sebagai stevis rebaudiana atau pokok stevia rebaudiana bertoni mengandungi steviosides sejenis sebastian berasaskan karbohidrat.
“Stevia dalam keluarga chrysanthemum, pokok renek herba yang tumbuh liar di Paraguay dan Brazil dan mempunyai rasa manis di bahagian daun dan kekal begitu walaupun selepas dikeringkan.
“Masyarakat Indian Paraguay dan orang asli di Brazil telah menggunakannya untuk memaniskan minuman, memasukkan dalam sajian dan ubat- ubatan sejak beratus-ratus tahun dahulu.
“Secubit stevia sama dengan satu sudu teh gula dan tidak mengandungi kalori dan menjadi pilihan tepat untuk penghidap kencing manis atau berbanding dengan pemanis tiruan yang lain,’’ katanya.
Mengikut sejarah, stevia (ca-he-he) telah digunakan sebagai pemanis sejak era pra-Columbia bagaimana pun seorang saintis, Antonio Bertoni merekodkan buat pertama kali stevia digunakan pada 1887.
Sejak diperkenalkan, penggunaan semakin meluas apabila pelanggan di Jepun menggunakan 700 tan metrik daun stevia pada tahun 1987. Jumlah ini tidak termasuk penggunaan di negara Brazil, Amerika Selatan, Korea Selatan, China, Eropah, Australia dan Amerika Utara.
Hashim yang kini mengedarkan stevia atas jenama Orimanis berkata, beliau amat berharap produk tersebut menjadi alternatif kepada gula lebih-lebih lagi di kalangan pesakit kencing manis.
Selain itu, orimanis juga sesuai dengan golongan diet, mencegah kerosakan gigi juga di kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup sihat. Hashim bangga dengan pencapaiannya kerana pokok renek stevia memberi hasil sampingan kepada pekebun-pekebun kecil yang menanamnya di utara tanah air.
“Buat masa sekarang, kebanyakan pokok ditanam mengikut kesesuaian penanaman ladang melalui konsep "peladangan kontrak" dan sedang giat disusun urus oleh syarikat Eco-Uniq dengan beberapa tuan punya tanah di Pahang, Kelantan dan Selangor
“Saya masih melakukan kerja-kerja pemprosesan secara manual untuk mendapatkan ekstrak atau serbuk.
“Penghasilkan pemanis ini turut mendapat kerjasama kajian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Orimanis turut mendapat kelulusan daripada Akta Makanan 1983 yang dikategorikan sebagai pemanis,’’ ujarnya.
Sebagai bekas pesara pegawai tentera laut yang berkhidmat selama 37 tahun, Hashim bersama isterinya Tengku Zanariah Tengku Mohd Salleh berharap produk keluaran syarikat Eco-Uniq yang terletak di Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan.
“Walaupun buat masa sekarang, stevia yang syarikat hasilkan diproses secara kombinasi manual dan mesin namun ia mampu menampung keperluan.
“Syarikat telah melantik agen di sekitar Lembah Klang dan mengalu-alukan golongan yang berminat untuk turut serta. Saya berharap pada masa akan datang, penggunaan Orimanis akan diterima lebih meluas lagi di kalangan masyarakat di negara.
“Malah ia amat baik untuk merendahkan kadar glukos dalam darah dan membantu cara hidup lebih baik di kalangan penghidap diabetis atau kencing manis,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan